Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan saja Plaza Low Yat, beberapa lagi pusat beli-belah terkemuka di ibu negara dikesan menjadi ‘gudang’ penjualan telefon bimbit klon dan buatan China yang mengelirukan pembeli yang menyangka ia adalah telefon bimbit atau gajet tulen daripada pengeluar.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna yang berasa tertipu kerana dijanjikan, tetapi sebenarnya diklon sindiket tertentu yang ingin mengaut keuntungan mudah.

Beliau berkata, kebanyakan pembeli langsung tidak mengetahui spesifikasi telefon tulen dan kesempatan itu digunakan penjual menawarkan telefon atau gajet tiruan pada harga mahal manakala barangan asal disimpan untuk dijual pada harga lebih tinggi.

“Kita bercakap mengenai teknologi. Tahun ini kita menerima aduan mengenai 600 telefon bimbit tiruan yang dijual pada harga tulen. Pengguna tertipu tanpa pembelaan.

“Selain Plaza Low Yat, ada juga beberapa pusat beli-belah yang kami kesan menjual produk tiruan. Perkara ini kita sudah rujuk kepada pihak berwajib dan bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana ia tertakluk pada bidang kuasa mereka,” katanya, semalam.

Nadzim yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Patriot Negara Malaysia berkata, ada juga aduan membabitkan komponen yang ditukar dan itu perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada lagi kegiatan seperti itu yang jelas menipu pengguna.

Ditanya mengenai kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat, kelmarin dan Sabtu lalu, Nadzim berkata, perkara itu perlu dilihat secara berasingan kerana ia jelas membabitkan pelakuan jenayah sedangkan kekecohan berlaku disebabkan wujud sentimen perkauman.

“Memang ada aduan penipuan, namun dalam kes ini ia lebih kepada jenayah. Orang ramai jangan tersalah anggap dan membuat kesimpulan melulu dan menyalahkan pihak tertentu untuk kepuasan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:07 AM