CHERYL percaya berdasarkan peluang yang ada, golongan muda yang mahu merubah dunia akan menggunakan model perniagaan sosial.
Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

Usahawan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dari aspek sumbangan ke atas kemajuan ekonomi dan peluang pekerjaan.

Di negara ini misalnya, pelbagai inisiatif bagi memacu keusahawanan dilaksanakan dan antara yang berjaya di landasannya adalah penubuhan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).

MaGIC ditubuhkan untuk menyediakan ekosistem komprehensif kepada usahawan dan membantu mereka menjadi pemain di peringkat pasaran rantau ASEAN mahupun antarabangsa serta berperanan sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan diperlukan usahawan.

Ia memberi fokus untuk menarik usahawan tempatan dan antarabangsa berbakat dengan menyediakan infrastruktur sokongan, akses kepada model latihan dan kerjasama dengan pusat penyelidikan, universiti dan organisasi antarabangsa.

Kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada MaGIC dan ia digunakan sebaiknya untuk membantu, membangun dan melahirkan lebih ramai usahawan menerusi pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang tahun.

Pelancaran MaGIC adalah detik bersejarah kerana dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama pada 27 April 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Cheryl Yeoh berkata, MaGIC berpegang kepada tiga aktiviti utama berasaskan pendidikan, memberi pendedahan dan memacu program keusahawanan agar ramai usahawan dapat dilahirkan.

“Untuk tujuan pendidikan, Akademi MaGIC ditubuhkan di mana kami banyak menganjurkan bengkel atau kursus bagi tujuan memberi tunjuk ajar kepada syarikat permulaan (startup) bagaimana mereka boleh menggunakan teknologi untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara.

“MaGIC amat menggalakkan startup memasarkan produk mereka hingga ke luar negara dan dengan menggunakan kemudahan teknologi seperti laman web, media sosial, aplikasi mudah alih dan sebagainya semua itu tidak mustahil.

“Bagi mendedahkan startup dengan dunia keusahawanan, MaGIC turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Stanford di Amerika Syarikat yang terkenal kerana melahirkan ramai usahawan berjaya dan ternama di dunia,” katanya.

MaGIC ada tiga perkongsian dengan Universiti Stanford dan salah satunya adalah menghantar kira-kira 50 usahawan ke sana untuk dua minggu untuk mendedahkan mereka kepada satu ekosistem yang sudah maju dari segi inovasi dalam melahirkan startup.

Selain itu, pihaknya juga menjemput profesor dari Universiti Stanford ke Malaysia untuk mengajar serta berkongsi pengalaman dengan usahawan di sini.

“Menerusi cara itu, ia memberi peluang kepada usahawan di sini yang mempunyai idea, tetapi tidak tahu bagaimana mahu mengkomersialkan produk mereka untuk belajar bagaimana mahu membina produk dan memasarkannya.

“Seterusnya, kita memilih tiga universiti tempatan dan menghantar 10 wakil tenaga pengajar ke Universiti Stanford untuk memerhati dan melihat bagaimana keusahawanan diajar di sana dan mengapa mereka berjaya mewujudkan ramai usahawan ternama.

“Setakat ini, kita memilih Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Ketiga-tiga program ini dilaksanakan selama tiga tahun,” katanya.

Bagi memacu keusahawanan, MaGIC melaksanakan Program Pemacu MaGIC (MAP). Permohonan untuk program ini dibuka kepada startup di sini dan seluruh ASEAN untuk datang ke Malaysia bagi membina perniagaan mereka dalam tempoh empat bulan.

Mentor tempatan dan serantau dijemput untuk melatih peserta. Seramai 50 startup akan dipilih di mana 30 dari Malaysia dan 20 lagi dari ASEAN manakala 25 sosial enterprise juga akan dipilih yang semuanya dari Malaysia.

Melalui tiga aktiviti utama MaGIC ini, lebih kurang 14,000 usahawan atau individu yang berminat dengan bidang keusahawanan sudah dilahirkan.

Tambah Cheryl, tahun ini pihaknya amat agresif menjalankan aktiviti ke beberapa negeri selain Lembah Klang untuk menarik lebih ramai golongan belia dan Bumiputera melalui program keusahawanan sosialnya.

Keusahawanan sosial ialah model keusahawanan yang tidak hanya mementingkan keuntungan, malah menekankan kepada pewujudan masyarakat yang berimpak positif dan saksama. Walaupun masih baharu, namun ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan belia.

Mereka yang mengamalkan keusahawanan sosial turut memperoleh manfaat dari segi kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi, selain menanam nilai mulia untuk meningkatkan taraf hidup orang lain.

Cheryl percaya, berdasarkan peluang yang ada, golongan muda yang mahu merubah dunia akan menggunakan model perniagaan sosial bagi mewujudkan impak positif dan berkekalan dalam isu membabitkan sosial dan persekitaran.

“Keusahawanan Sosial MaGIC kini adalah pusat setempat untuk usahawan sosial di Malaysia memberi inspirasi kepada generasi baru supaya menjadi rakyat yang aktif selain meluaskan capaian usahawan sosial sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 7:25 AM