ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Oleh Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my

Bachok: Perjalanan pulang tiga sahabat ke rumah di Tawang, di sini, berakhir dengan tragedi apabila kereta dinaiki mereka terbabas menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia.

Kejadian berlaku di Jalan Pintu Gerbang dekat Kampung Teluk Kemunting, di sini, jam 4.20 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa, Muhammad Rahimi Muhammadi, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala dua rakannya masing-masing cedera parah dan ringan.

Katanya, mangsa yang parah, Mohd Norhafizal Mokhtar, 26, dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian manakala Rozidi Mat Lazim, 31, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Kemalangan berlaku selepas Proton Iswara Aeroback dinaiki mereka dari arah Pengkalan Chepa, Kota Bharu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan dipercayai mahu mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya kenderaan yang dipandu Muhammad Rahimi merempuh tiang elektik menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:10 AM