ABDUL Aziz (dua dari kiri) melihat rokok yang dirampas.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Sepang: Hanya kerana mahu berbelanja mewah pada Aidilfitri ini, seorang pekerja syarikat sanggup berpakat dengan dua rakannya bagi melarikan van muatan rokok yang dinaiki bersama seorang lagi rakan sekerjanya.

Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, van Nissan C22 membawa 400 karton rokok bernilai RM40,000 dilarikan dua lelaki di hadapan sebuah restoran di Meranti Jaya, Putra Perdana, di sini.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat, polis menahan seorang pekerja syarikat itu selepas didapati membuat laporan palsu, selain bersekongkol dengan dua suspek lain melarikan van bermuatan rokok itu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mengikut laporan palsu yang dibuat, suspek mendakwa van dinaikinya bersama rakan sekerja dilarikan dua lelaki bersenjatakan parang.

Namun, katanya, apabila disoal siasat, keterangan diberikan suspek bersama rakan sekerjanya bercanggah dan meragukan.

“Suspek berusia 21 tahun itu mendedahkan kejadian samun itu dirancang bersama dua lagi rakannya.

“Bertindak atas maklumat itu, beberapa siri serbuan dibuat sebelum dua lagi suspek masing-masing berusia 23 dan 24 tahun ditahan, malah van dilarikan ditemui semula di Taman Puchong Utama, Puchong,” katanya.

Katanya, pihaknya merampas semula semua rokok dilarikan itu dan mendapati ia belum sempat dijual.

Abdul Aziz berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek merancang melakukan samun berkenaan seminggu lebih awal.

“Kami juga mendapati suspek berusia 24 tahun adalah bekas pekerja syarikat rokok berkenaan,” katanya.

Katanya, kes di siasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada polis.

Dalam kes berasingan, Abdul Aziz meminta kerjasama orang awam untuk mengesan seorang lelaki dipercayai warga Indonesia yang terbabit dalam satu rompakan bersenjata di Taman Putra Perdana pada 8 Jun lalu.

Menurutnya, pihaknya berjaya mendapatkan 85 peratus persamaan lakaran wajah suspek daripada mangsa dan fotofit itu kini diedarkan ke seluruh balai polis berdekatan.

“Dalam kejadian itu, suspek bersenjatakan parang memecahkan cermin kereta mangsa sebelum melarikan beg tangan mengandungi wang RM41,200 dan barangan berharga lain,” katanya.

Katanya, mangsa juga mendakwa suspek mempunyai tatu di tangan kanan selain berbadan gempal.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Hadir Hasan di talian 03-87774222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:38 AM