KHALID memperbetulkan topi keledar seorang penunggang motosikal sempena kempen keselamatan tahunan ‘Op Selamat’ di laluan KL Sentral.
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Semua kesalahan trafik dilakukan sepanjang tempoh Op Selamat ini tidak akan diberi pengurangan kompaun,” tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar terhadap pengguna jalan raya yang ‘tegar’ melanggar undang-undang.

Menurutnya, Op Selamat 7/2015 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri itu akan bermula mulai esok sehingga 24 Julai depan di seluruh negara.

Katanya, antara operasi bakal diadakan polis termasuk perangkap had laju selain tumpuan diberikan kepada kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memotong laluan.

“Rayuan untuk kompaun atas kesalahan dilakukan dalam tempoh itu juga tidak akan dilayan sama sekali.

“Jadi saya harap orang ramai bukan hanya sayangkan duit, tapi sayangi juga nyawa mereka dengan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 7/2015 di Stesen KL Sentral di sini, semalam.

Operasi bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ yang mendapat tajaan Telekom Malaysia (TM) itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan lain-lain lagi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:22 AM