PURWANTO (kiri) dan Ruslan (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Usaha berterusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjalankan operasi sama ada melalui Ops Outlet atau Ops Pacak terus membuahkan hasil apabila semakin ramai peniaga culas dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman setimpal.

Dalam kes terbaru di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam empat pembantu kedai serta dua pemilik perniagaan runcit dihadapkan ke mahkamah secara berasingan atas tuduhan memiliki pelbagai rokok seludup dan minuman keras.

Di depan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias, pembantu kedai warga Indonesia, Ruslan, 28, didenda RM1,005.60 atau 15 bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki 62 peket rokok seludup bernilai RM100.56 di Usaha Keluarga Jaya, Jalan Selaseh, Taman Istimewa di sini, jam 11.30 pagi, 30 Jun lalu.

Seorang lagi pembantu kedai warga Indonesia, Fajri Ridwan, 29, didenda RM588 atau 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki 20 peket rokok bernilai RM58.80 di Kedai Runcit Hidayati, Jalan Mawar 1, Taman Mawar di sini, jam 2 petang, 1 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JKDM Aishah Atan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hazza Khalid.

Di hadapan Majistret Salina Omar pula, seorang pemilik kedai, Mohammad Teo Kai Seng Abdullah, 41, bersama pekerjanya yang juga warga Indonesia, Purwanto, 28, didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara setiap seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka.

Kedua-dua tertuduh didakwa memiliki 200 peket rokok seludup bernilai RM350.96 di Pasar Mini M Mohammad, Jalan Batu 7 1/2, Jalan Kota Tinggi Pandan, Kawasan Perindustrian Pandan di sini, jam 11.30 pagi, 30 Jun lalu.

Pembantu kedai, Muhammad Nur Mustafa, 33, berasal dari Indonesia pula didenda RM500 atau lapan bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki 20 paket rokok bernilai RM41.60 di premis perniagaannya di Jalan Pinang, Kangkar Tebrau di sini, pada waktu dan tarikh yang sama.

Seorang lagi pemilik kedai, V Perumah, 55, yang mengaku bersalah bagi dua pertuduhan dihadapinya, didenda masing-masing RM7,000 dan RM2,000 atau lapan bulan penjara.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki 180 paket rokok seludup dan 44 tin minuman keras di Sri Royal Store, Jalan Lanjot 11, Taman Desa Cemerlang di sini, pada jam 10.15 malam, 21 Januari 2013.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, Perumah didakwa menjual 56 botol minuman keras secara runcit tanpa lesen di tempat, waktu dan hari yang sama.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JKDM Norhaliza Ab Ghani dan semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) Akta Kastam 1967 bagi tuduhan memiliki rokok dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976 bagi tuduhan memiliki minuman keras.

Semua barangan yang dilarang untuk diimport di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 itu kemudiannya diperintahkan untuk perlucutan hak mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 9:21 AM