Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak menunggu saat akhir untuk membayar semua jenis zakat yang wajib ditunaikan termasuk zakat fitrah bagi mengelak kesesakan di tempat pembayaran.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali berkata, zakat fitrah mula dibayar sejak hari pertama Ramadan lalu manakala zakat harta, pendapatan, perniagaan dan sebagainya boleh dibuat hingga hujung tahun ini.

“Saya menyeru orang ramai melaksanakan kewajipan ini dan tidak buat-buat lupa atau sengaja tidak mahu membayar kerana faktor sayangkan duit.

“Zakat menyucikan harta dan jiwa. Jika kita melaksanakan kewajipan yang disuruh oleh Allah, kita akan hidup tenang dan mendapat keberkatan daripada-Nya,” katanya.

Menurutnya, masih ada warga kota terutama di Kuala Lumpur yang tergolong dalam kategori miskin bandar walaupun mempunyai gaji RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Selain mereka, kita mengenal pasti ramai asnaf, fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim yang memerlukan bantuan kewangan.

“Justeru, sekiranya lebih ramai individu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membayar zakat, wang ini juga boleh diagihkan kepada lebih ramai penerima yang layak,” katanya.

PPZ-MAIWP adalah organisasi yang bertanggungjawab melakukan urusan pungutan zakat di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan manakala proses agihan wang zakat dilaksanakan oleh Baitulmal-MAIWP.

Bagaimanapun, PPZ-MAIWP di UTKL Pudu Sentral hanya beroperasi dari jam 8.15 pagi hingga 5.30 petang. Pembayaran zakat juga boleh dibuat Portal Zakat di www.zakat.com.my atau me- lalui telefon pintar dengan memuat turun aplikasi iZakat di AppStore dan GooglePlay.

Van Bergerak Zakat PPZ- MAIWP akan berada di lokasi tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:46 AM