Bawang merah dan bawang putih antara 19 barang di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri.
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ikut arahan atau dikenakan tindakan lebih tegas. Itu amaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) terhadap peniaga yang enggan mematuhi syarat Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang bermula sejak semalam.

Pengarah KPDNKK WPKL Muez Abd Aziz berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di premis perniagaan di ibu negara mulai semalam sehingga 23 Julai depan, bagi memastikan harga jualan 19 barangan terkawal dipatuhi.

Menurutnya, peniaga juga dikehendaki mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi semua barangan terkawal sepanjang 17 hari pelaksanaan skim berkenaan.

“Pemborong dan peruncit tidak dibenarkan menjual barang itu melebihi harga maksimum ditetapkan. Bagaimanapun peniaga digalakkan menjual pada harga lebih rendah daripada ditetapkan,” katanya selepas melancarkan skim berkenaan di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), semalam.

Sebanyak 19 barangan kawalan termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, C, daging lembu tempatan, daging kerbau import, cili merah, tomato, kubis bulat import, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang putih, bawang besar import, ubi kentang import, ikan kembung, ikan selayang dan ikan tongkol dikategorikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri tahun ini.

Muez berkata, peniaga yang didapati bersalah melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:25 AM