Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Subang Jaya: Sekumpulan tiga penculik warga tempatan menjadikan sebuah masjid di Kampung Sri Aman di sini, sebagai lokasi penyerahan wang tebusan.

Difahamkan suspek menculik seorang lelaki warga Pakistan berusia 30 tahun dan meminta rakan mangsa membayar wang tebusan RM2,000 di masjid itu, kelmarin.

Sumber berkata, mangsa sebelum itu terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan kenderaan suspek di Jalan Bestari, Kampung Sri Aman, Khamis lalu.

“Akibat kemalangan itu, suspek meminta mangsa membayar wang ganti rugi berjumlah RM1,000.

“Mangsa bersetuju dan membayar wang diminta suspek. Bagaimanapun suspek menculik mangsa Ahad lalu,” katanya.

Dia berkata, suspek kemudian bertindak menghubungi rakan mangsa menggunakan telefon bimbit milik mangsa dan memaksanya menyerahkan RM2,000.

“Suspek mengugut mahu membunuh mangsa jika permintaan mereka tidak dipenuhi.

“Suspek meminta rakan mangsa membawa wang tunai RM2,000 ke Masjid Kampung Sri Aman sebelum mangsa dibebaskan,” katanya.

Bagaimanapun rakan mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketiga-tiga suspek diberkas polis pada hari sama laporan dilakukan.

“Suspek berusia 22 hingga 31 tahun itu diberkas polis Subang Jaya pada jam 4 petang di sekitar masjid berkenaan.

“Siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:05 AM