Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menafikan Tun Mahathir Mohamed adalah dalang di sebalik serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk mengarahkan pemalsuan dokumen maklumat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mukhriz berkata, dakwaan sesetengah pihak mengaitkan bekas Perdana Menteri itu sebagai dalang di sebalik laporan dikeluarkan akhbar Wall Street Journal (WSJ) adalah tidak benar dan tidak adil, malah yakin laporan berkenaan tidak membabitkan bapanya.

Katanya, beliau tidak dapat memastikan kebenaran sebahagian daripada konspirasi itu, malah pada masa sama juga, beliau tidak boleh mengesahkannya.

“Saya tidak pasti, malah tidak boleh sahkan sebahagian daripada konspirasi itu. Bagaimanapun, apa yang saya yakin ialah laporan daripada WSJ ini tidak membabitkan Tun Mahathir.

“Namun, saya agak hairan kenapa kenyataan itu (pemalsuan dokumen) dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Mungkin beliau (Najib) ada maklumat lain, tapi saya tidak percaya itu yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:19 AM