SHAMASROL putus tangan kiri, isteri maut motosikal terbabas rempuh penghadang jalan.

Port Dickson: Kegembiraan suami isteri bersama rakan berbuka puasa berakhir tragedi apabila wanita berkenaan maut kepala terputus manakala suaminya hilang tangan kiri selepas motosikal dinaiki terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 14.2, Lebuhraya Seremban–Port Dickson arah Seremban, di sini, semalam.

Kemalangan berlaku jam 4.45 pagi menyebabkan Nor Azina Mohd Ratki, 39, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya, Shamasrol Abu Bakar, 36, maut di tempat kejadian.

Shamasrol pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJ) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika mangsa dan suami menaiki motosikal jenis Naza Blade 650R dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor.

Sebaik tiba di tempat kejadian, Nor Azina dipercayai tertidur di belakang menyebabkan suaminya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

Ketika terbabas, leher Nor Azina terkena besi penghadang jalan sebelum terputus.

Sementara itu, sumber polis berkata, kemalangan itu mengakibatkan suami mangsa tercampak dan terkena besi penghadang jalan menyebabkannya putus tangan kiri dari paras siku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 8:25 AM