Kuching: Asalnya dia tidak pernah mempelajari mahupun mempunyai ilmu menjinakkan buaya, namun pembabitan secara tidak langsung sehingga tertangkap reptilia ganas yang dipercayai membaham seorang penduduk di Kampung Nyalau, Bintulu, lapan tahun lalu, menyebabkan khidmatnya diperlukan sehingga sekarang.

Namanya mungkin tidak sehebat pawang buaya Indet Senabong yang sudah menangkap ribuan ekor reptilia terbabit, namun dia antara individu penting dipanggil sekiranya ada insiden kes serangan buaya.

Pembantu Perubatan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Wan Mazlan Wan Mazian berkata, dia tidak pernah terfikir untuk terbabit dalam menangkap buaya, apatah lagi tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang itu.

Menurutnya, dia kali pertama terbabit dalam operasi menangkap buaya apabila diminta seorang penyelia menyertai beberapa rakan sekerja menangkap buaya yang membaham seorang lelaki di Kampung Nyalau, Bintulu, pada 2007.

“Tidak sangka kejayaan menangkap buaya sepanjang hampir enam meter di sungai itu menyebabkan saya terus diberi kepercayaan setiap kali ada insiden serangan reptilia ganas terbabit di negeri ini.

“Sehingga kini sudah lebih 500 ekor buaya tewas di tangan saya dan rakan. Saya juga bersyukur kerana tiada insiden tidak diingini berlaku ketika menjalankan operasi menangkap buaya,” katanya.

Wan Mazlan berkata, dia tetap berpegang pada pantang larang seperti tidak bercakap takbur apabila menjalankan operasi menangkap buaya.

“Biasanya saya akan membaca doa diajar oleh seorang wanita bagi menundukkan atau melemahkan buaya sekiranya terserempak dengan reptilia itu.

“Saya akan berhati-hati kerana kecuaian boleh menyebabkan diri kita menjadi mangsa baham reptilia terbabit,” katanya yang menggunakan kail umpan bangkai ayam untuk menangkap buaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:34 AM