KEADAAN kereta mangsa yang remuk.
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Seorang bayi terselamat manakala bapanya parah apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan berhampiran lampu isyarat Taman Bunga Raya, Jalan Bukit Beruang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kereta dipandu Rayneld Edan, 35, dalam perjalanan dari Bukit Beruang ke Lebuh Ayer Keroh.

Difahamkan lelaki itu dan isterinya yang berusia 32 tahun baru menjemput bayi mereka yang berumur 1 bulan 18 hari dari rumah saudara mereka.

Sumber berkata, akibat kemalangan itu bayi berkenaan cedera, bapanya parah manakala ibunya, Leta anak Linggi, tidak cedera.

“Ketika kejadian, kereta dinaiki mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat sementara menunggu lampu hijau sebelum dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Nissan Sentra dinaiki dua pelajar kolej swasta hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan bumbung kereta dinaiki mangsa tercabut,” katanya.

Katanya, ketika kejadian pelajar berusia lingkungan 18 tahun itu dalam perjalanan ke kolejnya dan pemandu Nissan Sentra itu hanya cedera ringan.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Tengah Asisten Superintendan Yahya Manan mengesahkan menerima laporan tentang kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:15 AM