Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam menetapkan 12 Ogos ini untuk mendengar status keputusan daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap permohonan semakan difailkan suami penyanyi Farah Asyikin berhubung perintah mahkamah yang mengarahkan kes cerai pasangan berkenaan diteruskan melalui proses lantikan Hakam.

Hakim Syarie Umamuddin Yunus menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf yang mewakili Zaahier Stanley, 38, memaklumkan pihaknya belum mendapat keputusan permohonan itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

Hakam adalah sebuah jawatankuasa yang dilantik mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak, tetapi sekiranya suami masih enggan Hakam akan melafazkan talak bagi pihak suami.

Defendan memfailkan permohonan semakan itu pada 29 April lalu untuk menyemak semula perintah Mahkamah Rendah Syariah berkenaan kerana berpendapat kes permohonan cerai itu perlu melalui proses lantikan jawatankuasa pendamai yang diwakili ahli keluarga terdekat.

Pada prosiding semalam, Farah Asyikin, 36, yang popular menerusi lagu Kembali Lagi Ke Sisimu dan ERT tidak hadir dan diwakili peguam syarie, Siti Maisyarah Hashim.

Penyanyi itu memfailkan perceraian mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, pada Oktober tahun lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 15 Februari 2013 di kediaman keluarga Farah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ebrahim Owais yang kini berusia 15 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 9:08 AM