Najib diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kiri) melawat kaunter bergerak MAIWP.
Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Pelajar tahfiz ini sememangnya pandai, kalau mereka boleh hafal al-Quran, mereka juga boleh jadi ahli sains dan profesional yang hebat,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri mahu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan guru akademik kepada sekolah tahfiz di Wilayah Persekutuan sebagai usaha mempelbagaikan fungsi bantuan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, sekolah itu perlu dibantu kerana kekangan kewangan sebab pusat pengajian agama tidak dapat menyediakan guru akademik.

“Saya kata elok MAIWP sediakan guru akademik untuk sekolah tahfiz sebab pelajar ini sememangnya pandai,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada asnaf Baitulmal MAIWP di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri MAIWP sebanyak RM18.27 juta kepada 53,800 asnaf fakir, miskin dan mualaf di wilayah berkenaan.

Najib berkata, ilmu adalah tonggak kekuatan umat Islam selain pembinaan akidah dan akhlak.

Kata beliau, melalui penyediaan pelbagai bidang ilmu, pelajar tahfiz akan menjadi lebih cemerlang dalam kerjaya sekali gus dapat terus membantu umat Islam yang lain menerusi zakat yang dikeluarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pelaksanaan dasar kerajaan dan pengurusan ekonomi yang betul serta baik adalah antara faktor kepada peningkatan kutipan zakat saban tahun.

Kata beliau, hal itu dibuktikan apabila kutipan zakat MAIWP meningkat daripada RM100 juta pada 2000 kepada RM532 juta tahun lalu dan RM585 juta pada tahun ini.

Beliau turut melancarkan kaunter bergerak MAIWP bagi memudahkan golongan asnaf di wilayah ini memohon bantuan yang akan diproses terus.

Beliau turut melancarkan Pelan Perlindungan Takaful Asnaf Baitulmal MAIWP dengan caruman RM600,000 yang membolehkan 20,000 asnaf menerima bantuan kewangan bulanan Baitulmal MAIWP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 9:05 AM