MANUSIA mengenal Penciptanya melalui petunjuk yang disampaikan Nabi Muhammad SAW.

Menjadi tradisi bagi umat Islam pada setiap 17 Ramadan akan diadakan majlis peringatan Nuzul al-Quran.

Ia adalah peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya beransur-ansur lengkap sebagaimana al-Quran yang ada pada hari ini.

Al-Quran adalah manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Isra, ayat 9)

Al-Quran adalah hidayah dan petunjuk dalam pelbagai persoalan kehidupan manusia. Ia memberi panduan mengenai dasar asasi dan utama persoalan dalam setiap bidang kehidupan sebagaimana Allah menugaskan Rasulullah SAW memberi keterangan lengkap dasar berkenaan melalui firman-Nya bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya.” (Surah an-Nahl, ayat 44)

Mempelajari al-Quran ada- lah satu kewajipan. Mempelajari al-Quran bukan setakat mempelajari cara membaca dan hukum tajwid, malah mempelajari dan menerangkan isi al-Quran kepada orang ramai juga suatu kewajipan ke atas umat Islam.

Secara ringkasnya penurunan (Arabnya, nuzul) al- Quran berlaku dalam beberapa peringkat masa beransur-ansur selama 23 tahun lamanya.

Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW. Ia mengandungi 114 surah dan susunannya ditentukan oleh Allah secara tauqifi.

Ia tidak disusun mengikut penyusunan kitab ilmiah biasa kerana pada kebiasaannya kitab berkenaan membicarakan satu masalah dengan membahagi-bahagikan kepada bab dan fasal.

Cara ini tidak terdapat dalam al-Quran. Persoalan induk diterangkan secara silih berganti antaranya:

l

Persoalan akidah, kadangkala digandingkan dengan persoalan hukum.

l

Sejarah umat terdahulu disatukan bersama nasihat, dorongan atau tanda kebesaran Allah yang ada di alam semesta.

l

Penerangan masalah falsafah dan metafizik.

Ini membuktikan bahawa al-Quran tidak dapat disamakan dengan kitab yang dikenali oleh manusia.

Tujuan al-Quran diturunkan juga berbeza dengan tujuan kitab ilmiah ditulis. Untuk memahaminya, terlebih dulu mesti diketahui masa turunnya ayat al-Quran berkenaan dengan mengetahui peringkat masa itu.

Ulama Ulum al-Quran membahagikan sejarah penurunan al-Quran dalam dua peringkat iaitu:

1. Ayat Makkiyyah iaitu ayat al-Quran yang diturunkan sebelum penghijrahan ke Kota Madinah.

2. Ayat Madaniyyah iaitu ayat al-Quran yang diturunkan selepas penghijrahan ke Kota Madinah.

n

Ayat Makkiyyah

Rasulullah SAW menerima ayat pertama al-Quran yang merupakan pelantikan sebagai seorang Nabi dan Rasul.

Ayat al-Quran yang diturunkan pada peringkat ini secara umumnya membentangkan:

l

Manhaj pendidikan dijalani Rasulullah SAW sebagaimana yang terkandung dalam surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 dan surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 8.

l

Perintah berdakwah dan seruan kepada kaum keluarga terdekat. Ia adalah bimbingan kepada Rasulullah SAW dalam menjayakan kerja dakwah sebagaimana terkandung dalam surah al-Muddatstsir, ayat 1 hingga 7 dan surah al-Syu’ara, ayat 214 hingga 216.

l

Dasar penting mengenai sifat Allah seperti ayat dalam surah al-A’la dan surah al-Ikhlas.

l

Dasar akhlak Islamiyyah dan bantahan secara umum mengenai penyelewengan amalan jahiliah seperti dalam surah at-Takatsur yang mengecam golongan terlalu rakus dengan harta dan surah al-Maa’un yang menerangkan kewajipan terhadap fakir miskin dan anak yatim serta pandangan agama mengenai amalan hidup bermasyarakat.

Peringkat manhaj pendidikan dan seruan dakwah ini berlangsung dalam lingkungan masa empat hingga lima tahun menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Arab. Dakwah mula melebar melampaui perbatasan Makkah menuju ke daerah sekitarnya.

Peringkat ini juga dipenuhi dengan suasana fitnah, penganiayaan dan kekejaman yang menyebabkan orang Islam berhijrah ke Habsyah.

Kemuncaknya mereka semua berhijrah ke Kota Madinah. Pada peringkat ini ayat yang diturunkan menerangkan:

l

Kewajipan utama penganut agama Islam hendaklah selari dengan seruan dakwah pada masa itu seperti surah an-Nahl, ayat 125.

l

Ayat yang berbentuk kecaman dan ancaman ditujukan kepada kaum musyrik yang tidak mahu menerima kebenaran seperti surah Fussilat, ayat 13.

Suasana fitnah, penganiayaan dan kekejaman ini berlangsung selama lapan hingga sembilan tahun, di mana berlaku pertarungan hebat antara gerakan Islam dan jahiliah. Gerakan menentang Islam ini menggunakan segala cara dan strategi bagi menghalang kemajuan dakwah Islam.

n

Ayat Madaniyyah

Pada peringkat ini umat Islam berada dalam keadaan selesa, hidup bebas di Madinah dan melaksanakan ajaran agama tanpa rasa takut sebagaimana di Kota Makkah. Peringkat ini berlangsung selama 10 tahun.

Di sini mula timbulnya pelbagai persoalan antaranya:

l

Apakah prinsip yang perlu dilaksanakan dalam masyarakat baru ini bagi mencapai kejayaan?

l

Bagaimana menghadapi golongan munafik, ahli al-Kitab, orang kafir dan sebagainya sebagaimana diterangkan oleh al-Quran.

Justeru, penurunan ayat al-Quran pada peringkat ini berkisar mengenai:

l

Urusan pemerintahan dilaksanakan atas prinsip syura seperti dalam surah asy-Syura, ayat 38.

l

Sisi akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan seharian diterangkan seperti dalam surah an-Nur, ayat 27.

l

Dialog dengan golongan munafik, ahli al-Kitab dan musyrik.

l

Syariat dan hukum yang menerangkan dasar mesti diikuti oleh manusia dalam hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia.

Ringkasnya, sejarah penurunan al-Quran seiring bersama perkembangan dakwah Islam. Turunnya al-Quran secara beransur-ansur mengikut asbab an-nuzul (sebab penurunan) dan penyelesaian masalah yang berlaku.

Apabila dakwah berjalan secara menyeluruh, masyarakat Arab Quraisy mula berduyun-duyun memeluk agama Islam.

Ketika inilah berakhirnya penurunan ayat al-Quran dan datangnya penegasan daripada Allah, maksudnya: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu agamamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Al-Quran adalah petunjuk yang tersimpul dalam keimanan kepada Keesaan Allah dan kepercayaan kepada adanya hari pembalasan.

Ia juga petunjuk mengenai akhlak yang murni dengan menerangkan norma keagamaan dan tatasusila kehidupan yang mesti dikuti dalam kehidupan individu dan bermasyarakat demi kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.

Inilah mesej Rasulullah SAW, Islam adalah nizam al-hayat ataupun ‘way of life’ (cara hidup) yang menjamin kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Penulis Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 8:52 AM