Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: Usianya baru mencecah 25 tahun, namun seorang wanita dikesan menipu lebih 7,000 mangsa di seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Suspek dikesan memperkenalkan skim pelaburan piramid yang menjanjikan keuntungan tujuh kali ganda bagi setiap wang dilaburkan mangsa dalam tempoh dua bulan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, suspek dikatakan menarik ramai peserta menyertai pelaburan itu selepas mengiklankannya melalui Facebook.

“Setiap peserta mendakwa melabur antara RM100 dan RM300 untuk mendapatkan pulangan dalam tempoh dua bulan.

“Peserta perlu membayar wang tunai kepada ejen dan wang itu kemudiannya didakwa dilaburkan dalam urus niaga mata wang asing, emas serta pakaian,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan haram diasaskan suspek itu dijalankan sejak setahun lalu dan berjaya ‘menggoda’ ribuan mangsa seluruh negara.

“Difahamkan, kumpulan pertama pelabur skim itu mendapatkan keuntungan lumayan seperti dijanjikan.

“Bagaimanapun, kumpulan seterusnya malang apabila wang pelaburan mereka hangus,” katanya.

Willey berkata, perkara itu menyebabkan 25 ejen yang bernaung di bawah sistem pelaburan itu menerima ugutan daripada mangsa.

“Malah, terdapat ejen yang melabur sehingga RM5,000 kepada suspek dan wang pelaburan itu turut tidak dipulangkan.

“Suspek difahamkan pernah melunaskan bayaran RM500,000 milik pelabur, namun masih ramai yang berani membuat pelaburan dengannya sehingga tertipu,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri ke Sarawak bersama suami dan anaknya selepas mengetahui orang ramai memburunya.

“Pihak kami mengesan lokasi terakhir suspek berada di sebuah hotel di Sarawak tiga hari lalu, namun tidak berhasil.

“Usaha menjejakinya diteruskan selain menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan seumpama itu, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:04 AM