JENAZAH Nur Effy Elysha (gambar kecil) dikebumikan, semalam.
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Dungun: “Abah tahu Allah sayang adik... sebab itu adik janji pada Allah mahu puasa penuh tahun ini,” begitu kata Azmi Sham Mahmad, 37, bapa kepada Nur Effy Elysha Azmi Sham, 8, yang menghembuskan nafas terakhir, semalam selepas tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Nur Effy Elysha meninggal dunia jam 12.30 tengah hari ketika menerima rawatan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 71.6, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, Ahad lalu.

Dalam kemalangan jam 6.55 pagi itu, ibu mangsa, Juzalina Johari, 37, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala abang mangsa, Muhammad Shah Ikhwan, 12, cedera ringan.

Azmi Sham berkata, anak kedua daripada empat beradik itu sempat memberitahunya yang dia berjanji berpuasa penuh tahun ini ketika mereka berbuka di rumah nenek mereka di Kampung Seberang Pintasan di sini, sehari sebelum kejadian.

“Selepas berbuka, saya memujinya yang berjaya berpuasa hari ke-10 dan dia menjawab Allah sayang padanya dan dia sudah beritahu Allah mahu berpuasa penuh.

“Saya tidak sangka kata-katanya sebenarnya membawa maksud dia pergi meninggalkan saya selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan kejadian menimpa isteri dan dua anaknya beberapa kali pengsan dan tidak dapat melihat wajah arwah isterinya sehinggalah dikebumikan.

“Saya tidak dapat melihat wajah mereka, sedih di hati saya hanya Allah yang tahu. Allah memberi satu ujian berat pada Ramadan dan Syawal kali ini, tetapi saya reda menerimanya,” katanya.

Katanya, dia berada di rumah bersama anak bongsunya, Nur Erny Erdina, 3, dan anak sulung, Nur Alya Amira, 13, ketika kejadian.

Nur Alya Amira berkata, dia sedih kerana kehilangan ibu dan adiknya sekelip mata.

Menurutnya, dia sedar kini perlu menggalas tugas ibunya menjaga adiknya serta melakukan kerja rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kematian Nur Effy Elysha dan jenazah mangsa sudah dituntut keluarganya.

“Jenazah mangsa disemadikan bersebelahan kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Dungun, jam 6 petang tadi (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:57 AM