PELABUR yang hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam untuk mendengar keputusan permohonan saman.

Ipoh: Pemegang saham minoriti syarikat pelaburan emas, Bestino Golden House Sdn Bhd (Bestino) dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam untuk meneruskan tindakan saman terhadap dua pengarah syarikat Bestino yang juga pemegang saham majoriti.

Tindakan saman itu adalah untuk membolehkan hak 6,764 pelabur dalam syarikat berkenaan mendapatkan semula wang pelaburan RM411 juta yang sudah dilaburkan.

Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali membenarkan permohonan yang difailkan lima pemegang saham minoriti syarikat pelaburan emas itu untuk meneruskan tindakan menyaman dua pengarah syarikat, Chong Yuk Ming dan Chang Kuei Geh.

Peguam yang mewakili lima pemegang saham minoriti terbabit, Effa Ruzana Anuar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos RM5,000 kepada setiap plaintif.

Menurut Effa Ruzana, pihaknya akan memulakan prosiding memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan itu dalam tempoh sebulan sebelum mendapatkan tarikh sebutan saman berkenaan didengar di Mahkamah Tinggi.

Pada Februari 2011, empat pengarah Bestino dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas 322 tuduhan pengubahan wang haram RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit tanpa lesen dalam tempoh dua tahun syarikat itu beroperasi.

Bank Negara Malaysia pula merampas aset syarikat itu mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2011 (AMLATFA) berjumlah RM24.2 juta sebagai bahan bukti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:06 AM