BAHARUDIN (kiri) bersama Nur Edrina menunjukkan gambar arwah di telefon bimbitnya.

Permatang Pauh: “Arwah bernazar mahu menyambut hari lahir adiknya selepas memperoleh gaji pertama semalam (kelmarin),” kata Baharudin Mohd Ismail, 43, bapa kepada Nabila Fasha, 19, yang maut dalam kemalangan di Jalan Permatang Pauh, di sini, petang kelmarin.

Lebih memilukan dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Nabila ditemui maut dalam keadaan memeluk erat kek untuk sambutan hari lahir adik bongsunya Nur Edrina Izati Baharudin, 9.

Mangsa membonceng motosikal ditunggang adik tirinya, Zarith Sofea Che Ani, 18, sebelum kenderaan bergesel dengan lori tanah mengakibatkan mangsa tersembam di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala Zarith cedera ringan.

Baharudin berkata, arwah yang juga anak ketiga daripada sembilan beradik itu baru bekerja di kantin sebuah sekolah di sini dan memperoleh gaji pertamanya, kelmarin.

“Sebelum ini, arwah memang bernazar mahu menyambut hari lahir Nur Edrina yang jatuh pada Ahad lalu selepas memperoleh gaji pertamanya pada hari kejadian.

“Sejurus pulang dari tempat kerja, arwah tidak sempat singgah di rumah kerana terus keluar bersama Zarith ke Bagan, Butterworth bagi membeli kek serta beberapa barangan lain bagi tujuan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Ampang Jajar, di sini, semalam.

Baharudin berkata, sebaik selesai membeli kek, arwah bersama Zarith pulang ke rumah kerana mahu menyambut hari lahir adiknya yang sepatutnya diadakan selepas waktu berbuka.

Beliau berkata, sebaik melepasi Kampung Benggali, motosikal ditunggang Zarith hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah lori tanah menyebabkan mereka terjatuh di tengah jalan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Superintendan Mohamad Sukri Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:57 AM