Kuala Terengganu: Dua beradik yang kehilangan ibu mereka dalam kemalangan maut di Dungun, kelmarin dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Nur Effy Elysha Azmi Sham, 8, kini masih dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala abangnya, Muhammad Shah Ikhwan Azmi Sham, 12, pula dirawat di wad kanak-kanak.

Bapa mangsa, Azmi Sham Mahmad berkata, anak perempuannya belum sedarkan diri sejak dipindahkan ke HSNZ, petang kelmarin selepas menerima rawatan awal di Hospital Dungun.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu masih menggunakan alat bantuan pernafasan dan sehingga kini belum menunjukkan sebarang maklum balas.

“Saya berharap kedua-dua anak saya cepat sembuh seperti biasa. Walaupun keadaan anak perempuan parah, namun harap ada keajaiban berlaku untuk dia pulih dan sedarkan diri.

“Kami sekeluarga tidak putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya mereka berdua cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di HSNZ di sini, semalam.

Dalam kemalangan di Kilometer 71.6, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan Pulau Serai itu, ibu kedua-dua kanak-kanak itu, Juzalina Johari, 37, terbunuh selepas motosikal dinaiki tiga beranak berkenaan dirempuh sebuah pacuan empat roda.

Ketika kejadian, ibu kepada empat cahaya mata itu dalam perjalanan menghantar kedua-dua anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai 1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 10:25 AM