Ipoh: Penerbangan Malaysia (MAS) sudah diarahkan mempercepatkan bayaran pampasan kepada keluarga mangsa tragedi nahas MH17 kerana terdapat keluarga yang sudah menunggu selama hampir setahun sejak insiden itu berlaku.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya sudah mengarahkan syarikat penerbangan berkenaan untuk mengambil tindakan cepat sekiranya masih terdapat keluarga mangsa yang belum menerima pampasan.

Katanya, dia bagaimanapun dimaklumkan sebahagian besar daripada keluarga mangsa sudah menerima bayaran pampasan berkenaan.

“Mana-mana waris yang masih belum menerima bayaran pampasan disebabkan MAS masih dalam proses mengenal pasti pihak yang layak menerima pampasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Bahagian Gopeng, di sini, semalam.

Ditanya mengenai siasatan yang sedang dijalankan terhadap tragedi MH17, beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu digesa membantu Malaysia dalam memastikan keadilan dapat diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:27 AM