Oleh Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Ini bukan program memberi makanan percuma, tapi kempen mendidik pengguna jalan raya mengutamakan aspek keselamatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB) Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus mengenai kempen ‘Coffee Break Petronas’ sempena Aidilfitri akan datang.

Menurutnya, kempen yang diadakan buat tahun ke-16 berturut-turut itu membabitkan 40 stesen minyak seluruh negara khusus untuk orang ramai yang pergi dan balik dari kampung pada 15, 16, 20 dan 21 Julai ini bagi menyambut Aidilfitri.

Mohd Ibrahimnuddin berkata, bersempena ‘Coffee Break Petronas’ kali ini 150,000 pek percuma mengandungi minuman dan snek diagihkan kepada pengguna jalan raya yang singgah di stesen Petronas terpilih.

Beliau berkata, matlamat utama program itu ialah ia kempen keselamatan bagi mendidik pengguna jalan raya berhati-hati dan berhemah ketika memandu.

“Kami bukan saja menggalakkan pengguna jalan raya berhenti rehat apabila penat atau mengantuk. Kami mahu mengingatkan pengguna jalan raya yang memandu jarak jauh mendapat rehat secukupnya.

“Pemandu perlu sedar rasa mengantuk atau keletihan boleh menjurus kepada berlakunya kemalangan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini, semalam.

Turut serta Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar PDB Tariq Ashra Sulaiman dan rombongan PDB itu disambut Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Kumpulan BH Datuk Mahfar Ali.

Mohd Ibrahimnuddin juga memberitahu buat tahun ke-21 berturut-turut juga, PDB menaja minyak secara percuma bernilai RM20,000 untuk kenderaan ambulans milik St John’s Ambulance Malaysia yang menyediakan khidmat 24 jam di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:38 AM