Mazmin bersama pelajar berbincang mengenai teknik pembelajaran KBAT di SMK Serendah, Rawang.
Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com

Hulu Selangor: Kaedah pembelajaran peta pemikiran, i-Think yang diterapkan dalam setiap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serendah bukan saja mampu memupuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), malah membantu menyelesaikan masalah kehidupan mereka.

Menurut pengetuanya Mazmin Mohd, pihaknya mempraktikkan KBAT yang diperkenalkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sejak 2013 dengan jayanya sehingga diiktiraf sebagai Sekolah Penanda Aras i-Think dan KBAT oleh Jemaah Nazir pada tahun lalu.

“i-Think adalah pembelajaran membentuk peta pemikiran yang perlu dihuraikan pelajar dalam menyelesaikan masalah diberi. Penggunaannya selaras seperti apa yang dihasratkan dalam PPPM untuk membangunkan KBAT.

“Sebenarnya KBAT bukan saja ketika PdP dan peperiksaan, tapi ia sebenarnya boleh menyelesaikan masalah dan tahu menguruskan hidup. Inilah contoh ciri pembelajaran abad ke-21.

“Alhamdulillah selepas mempraktikkan i-Think, kita nampak perubahan pelajar sudah ada ilmu KBAT berbanding memahami dan mengingat saja,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah juga menyediakan kemudahan lengkap kepada pelajar sesuai dengan ciri pembelajaran abad ke-21 bagi menggalakkan pelajar lebih berfikir luar kotak dan meningkatkan keupayaan intelektual dan kritikal.

“Kita menyediakan bilik khas i-Think, di samping penggunaan teknologi maklumat yang penting bagi pelajar mencari rujukan dan sebagainya.

“Mulai Januari lalu, kita juga adakan susun atur dalam kelas membuat meja berkelompok supaya memudahkan pelajar bebas berbincang dan bekerjasama untuk memantapkan proses PdP dalam kelas.

“Guru hanya bertindak sebagai fasilitator bergerak ke kumpulan meja dan memberi sedikit penerangan manakala pelajar digalakkan aktif mencari maklumat dan berbincang menjurus kepada KBAT dalam menyelesaikan masalah,” katanya.

Mazmin berkata, pihaknya turut mempraktikkan KBAT dalam urusan pentadbiran sekolah terutama dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar supaya bukan saja guru, malah pelajar dapat menguasai sepenuhnya KBAT dalam semua aspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:07 AM