ORANG ramai membantu menghantar seorang wanita ke hospital selepas dia pitam di Karachi, semalam.
Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tidak dapat saya gambarkan bagaimana keadaan gelandangan dan penduduk miskin masyarakat Islam di sini (Karachi, Pakistan) yang menghadapi Ramadan dengan tempoh berpuasa melebihi 15 jam di samping tiada tempat tinggal serta kemudahan penghawa dingin.”

Itu luahan salah seorang rakyat Malaysia di Karachi, Pakistan yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 26, berhubung gelombang haba yang melanda wilayah berkenaan sehingga meragut 800 nyawa penduduk.

Muhammad berkata, kebanyakan yang terkorban akibat gelombang haba itu adalah penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal atau golongan gelandangan, warga emas dan penduduk miskin.

“Gelombang haba tahun ini luar biasa berbanding tahun sebelum ini. Kali ini, suhu yang dicatatkan lebih panas daripada biasa mencecah 45 darjah celsius berbanding suhu biasa hanya sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Selain itu, kita (umat Islam) dalam menghadapi bulan puasa, ramai gelandangan ini terkena strok haba, sekali gus mengakibatkan kematian berikutan kelewatan mendapatkan rawatan di hospital,” katanya menerusi ruangan mesej peribadi laman sosial, Facebook, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 8:27 AM