Kuala Terengganu: Kelicikan empat remaja berusia antara 17 hingga 22 tahun yang menyamar sebagai polis sebelum menyamun pekerja buruh di Chukai, Kemaman 18 Jun lalu, tidak bertahan lama apabila mereka ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di Jalan Marang ke Kuala Terengganu, pada keesokannya.

Siasatan awal terhadap keempat-empat suspek, masing-masing dua lelaki berusia 22 dan 18 tahun serta dua wanita (17 dan 20 tahun), menemui telefon bimbit jenama Samsung dipercayai disamun di Kampung Bukit Mentok, Chukai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam menyebabkan mangsa kerugian RM100 dan sebuah telefon bimbit berjenama Samsung.

“Mengikut laporan yang dibuat orang awam, seorang daripada mereka menahan pekerja warga Bangladesh itu selepas menyamar sebagai anggota polis sebelum merampas wang tunai RM100 serta telefon bimbit sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan.

“Sebaik menerima maklumat, hebahan dibuat kepada semua polis dan usaha menjejaki suspek dijalankan berdasarkan nombor kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, pada jam 12.15 tengah malam, sepasukan anggota polis dari IPD Marang yang sedang membuat rondaan terlihat kenderaan berkenaan sebelum menahan keempat-empat suspek.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka berasal dari Pahang dan tiga lagi berasal Kelantan. Mereka dalam perjalanan dari Cherating, Kuantan ke Kota Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 8:22 AM