Melaka: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mahu menyerang kapal tentera Malaysia, sebaliknya hanya melakukan persiapan menghantar jet pejuang dan kapal ke Ambalat.

Beliau berkata, perkara itu disahkan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu menerusi perbualan mereka secara peribadi.

“Mereka mahu menghantar jet pejuang dan kapal ke Ambalat kerana wujud dakwaan kita menceroboh perairan mereka, jadi kita perlu memberi penjelasan bahawa tiada kapal kita yang menceroboh,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan media negara jiran minggu lalu yang mendakwa TNI melancarkan Operasi Perisai Sakti ke atas kapal tentera Malaysia yang didakwa menceroboh.

Hishammuddin berkata, menerusi perbincangan dengan Ryamizard, kedua-dua pihak bersetuju tidak membenarkan media Malaysia, Indonesia, antarabangsa atau sosial media mensensasikan isu itu.

“Sebab itu hubungan antara pemimpin pelbagai negara terutamanya di ASEAN penting kerana kita tidak mahu ada insiden atau perkara tidak diingini berlaku.

“Dalam perkara ini, tiada kapal Malaysia menceroboh perairan Indonesia dan sudah saya maklumkan kepada Ryamizard dan nasib baik hubungan kami baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:49 AM