RAMADAN adalah bulan keampunan, kerahmatan dan keberkatan. - Gambar hiasan
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Ramadan yang kita lalui bukan sekadar berpuasa pada siang hari saja, sebaliknya kita dianjurkan menghiasinya dengan pelbagai amalan lain seperti membaca dan menghayati al-Quran.

Ikuti dan teladanilah jejak perbuatan dan sikap ulama terdahulu yang apabila masuk saja awal Ramadan, mereka bersungguh-sungguh dengan amal ibadat khususnya mengaktifkan pembacaan al-Quran.

Menurut Syeikh Abdullah al-Salih, amalan membaca al-Quran pada Ramadan adalah amalan Rasulullah SAW dan sahabat.

Contohnya Saidina Uthman bin Affan antara sahabat Rasulullah yang sangat aktif dalam melakukannya.

Dikatakan beliau berjaya khatam al-Quran pada setiap hari. Demikian juga sahabat yang lain dan kemudiannya ditunjukkan pula oleh ulama salaf. Nyata mereka berjaya menghiasi ibadat puasa dengan cukup indah sekali.

Cuba bayangkan sikap sahabat Rasulullah SAW dulu. Mereka bermunajat selama enam bulan sebelum tiba Ramadan semata-mata agar dipanjangkan usia dan dapat beribadat pada bulan yang mulia itu.

Apabila tiba saja Ramadan, mereka berlumba-lumba mengerjakan amal ibadat tanpa henti dan tidak mahu tercicir apa-apa juga amalan yang boleh mendatangkan berkat dan pahala di sisi Allah.

Kita ambil contoh lain, Imam as-Syafie dikatakan apabila berada pada Ramadan sentiasa khatam al-Quran.

Tentu kita tidak terdaya untuk melakukan sehebat as-Syafie dan sahabat Rasulullah SAW yang mereka amalkan dulu.

Namun, itu bukanlah alasan untuk kita melepaskan peluang keemasan Ramadan ini tanpa membudayakan pembacaan al-Quran.

Mungkin kita dapat membaca satu atau dua surah setiap kali selepas menunaikan solat, itu pun sudah dikira cukup baik.

Cubalah ambil masa untuk membaca al-Quran dan ajaklah bersama-sama ahli keluarga kita membacanya.

Perhiasan Ramadan seterusnya ialah solat Tarawih. Ibadat ini boleh dikatakan semua daripada kita mampu melakukannya. Malah, anak kecil kita pun teruja ke masjid dan surau untuk sama-sama menunaikannya.

Dalam asyik kita melaksanakan solat Tarawih, janganlah pula ditimbulkan isu mengenai bilangan rakaatnya. Janganlah berlagak ‘alim’ menuduh orang itu salah dan orang ini saja yang betul kalau tiada ilmu di dada.

Inikan bulan Ramadan, bulan yang seharusnya wujud dalam jiwa rasa kebersamaan dan ukhuwah yang jitu. Janganlah hal cabang menjadi api konflik sesama sendiri kerana yang rugi adalah kita semua.

Pakej Ramadan juga tidak lengkap sekiranya amalan suka bersedekah tidak dilakukan. Bersedekah pada Ramadan tidak sama dengan bulan lain. Ia memiliki darjat pahala yang jauh lebih besar dan ini perlu kita rebut dan berlumba-lumba melakukannya.

Janganlah fikirkan sangat harga atau bentuk sedekah yang kita berikan. Yang penting adalah hati kita mesti benar-benar ikhlas bersedekah.

Bersedekah banyak sekalipun sekiranya tidak disertakan dengan hati yang ikhlas, sebaliknya untuk menunjuk-nunjuk, menjadi sia- sia juga.

Ada juadah yang lebih, hulurkanlah kepada jiran. Ia bukan saja membuahkan pahala, bahkan membentuk hubungan mesra antara satu sama lain. Indahnya Ramadan sekiranya kita mampu menghiaskannya dengan amalan sebegini.

Sebenarnya masih banyak lagi amalan yang sangat dianjurkan pada Ramadan yang mulia ini termasuklah melakukan qiamullail, menjamu orang berbuka dan beriktikaf.

Marilah kita sama-sama menghidupkan Ramadan yang penuh berkat ini dengan amalan terbaik. Janganlah disia-siakan hari demi hari yang berlalu tanpa amalan disukai dan diredai oleh- Nya.

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:06 AM