NAJIB menyampaikan sumbangan kurma, air zamzam dan kain baju Melayu kepada Tengku Adnan (kanan) pada Majlis Pelancaran Program Ramadan Al-Mubarak peringkat nasional di Masjid Negara, semalam sambil disaksikan Abdul Azeez (kiri).
Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Ketika menunaikan umrah, saya terkejut di mana-mana sudut Masjidil Haram ada orang Malaysia, semua sudut tu ada, buat tawaf.

“Sepanjang tawaf ada orang Malaysia, buat saie pun ada, nak keluar masjid pun ada orang Malaysia. Kalau kita tak ada rezeki di Malaysia ini, tak mungkin kita boleh kerjakan umrah. Inilah kejayaan kita memimpin negara,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Program Penyerahan Kurma, Air Zamzam dan Kain Baju Melayu kepada Masjid Seluruh Negara di Masjid Negara anjuran Biro Kebajikan UMNO.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO merangkap Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebanyak 6,298 masjid di seluruh negara akan menerima 10 liter air zamzam serta 10 kilogram kurma diimport dari Arab Saudi serta Mesir manakala kain baju Melayu akan diberi kepada ahli jawatankuasa UMNO bahagian.

Sehubungan itu, kata Najib, amat penting bagi rakyat mengekalkan keamanan kerana jika sebaliknya, negara akan huru-hara dan sukar untuk mengecap nikmat yang dikecapi ketika ini.

“Dan satu lagi saya nak sebut, kebetulan saya baru balik dari buat lawatan rasmi ke Arab Saudi. Saya nak bagi tahu, orang Arab Saudi pandang tinggi pada Malaysia.

“King Salman (Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz) buat keputusan tidak mahu ikut protokol, baginda (Raja Salman) kata nak tunggu saya di lapangan terbang nak sambut saya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Najib, tanpa diduga, kakak Raja Salman mangkat dan baginda berkejar ke Riyadh namun Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Naif al-Saud menyambut rombongan beliau.

Rombongan Najib turut disambut barisan menteri kanan juga tentera.

“Kenapa ia berlaku, kerana mereka (pemimpin serta rakyat Arab Saudi) pandang tinggi pada Malaysia. Bila tercetus masalah di Yaman, nak bawa balik penuntut Malaysia, Arab Saudi bantu kita.

“Waktu timbul krisis di Mesir, kerajaan Arab Saudi benarkan kita gunakan ruang udara mereka (untuk bawa pulang rakyat Malaysia) sedangkan negara lain tidak dapat. Ini kerana hubungan kita baik dengan Arab Saudi,” katanya.

Menurut Najib, jika tiada hubungan baik, mungkin memerlukan 71 tahun bagi individu untuk dapat menunaikan ibadat berkenaan.

“Kerana itu perlu ada hubungan baik dengan negara seperti Arab Saudi kerana Malaysia juga perlukan bantuan mereka.

“Mereka (negara luar) yakin pada Malaysia jadi jangan bimbang, kita berada di landasan yang betul, kita yakin dan istiqamah dan pasti kita akan mendapat kejayaan,” katanya.

Menurut Najib, pelarian Rohingya sendiri bersyukur apabila dapat mendarat di Malaysia kerana yakin mereka sudah selamat serta dapat mencari rezeki di sini.

Berkaitan kuota haji, Najib memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan jumlahnya.

“Kalau ada rezeki, Insya-Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 8:26 AM