SEBUAH van dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran.

Sungai Petani: Sebuah van dan kereta musnah manakala sebuah kereta lagi mengalami kerosakan lebih 50 peratus apabila sebuah garaj simpanan kenderaan terpakai terbakar di Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong, dekat sini, awal pagi semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Mohd Radzi Abdul Talib berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.12 pagi sebelum dua jentera bersama 17 anggota dan sebuah ambulan Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati api sedang marak menyambar sebahagian besar garaj terbabit di mana terdapat sebuah van dan dua kereta di dalamnya.

“Usaha memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengelak api daripada merebak sebelum berjaya dikawal kira-kira lima minit kemudian.

“Sebaik api dapat dipadamkan, pihak bomba mendapati sebuah van dan kereta musnah sama sekali manakala sebuah kereta lagi terbakar lebih 50 peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa berada dalam garaj terbabit ketika kejadian,” katanya.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:30 AM