KERETA pasangan suami isteri terbabas rempuh kenderaan anggota tentera.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Muhamad Faiz Baharin
am@hmetro.com.my

Seremban: “Saya tidak menyangka kiriman WhatsApp diterima petang semalam (kelmarin) adalah yang terakhir dan arwah menyatakan dia berbuka puasa dengan roti telur serta air Milo.

“Pemergian adik ditangisi kami sekeluarga kerana dia seorang periang yang sering menggembirakan kami semua,” kata Suzana Shamsudin, 29, kakak kepada seorang anggota tentera, Koperal Mohd Hafiz, 27, yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di atas jambatan di Kilometer 15, Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.36 malam, mangsa menaiki kereta Proton Wira dari arah Seremban menuju ke FELDA Raja Alias 1, Jempol tercampak keluar dari kenderaan selepas dirempuh sebuah kereta Mercedes dari arah bertentangan.

Selain Mohd Hafiz, pemandu kereta Mercedes, L Muthu, 63, maut di tempat kejadian ekoran tersepit manakala isterinya, S Duggamah, 58, meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan itu menyaksikan tiga maut manakala lima cedera.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta Mercedes dinaiki sepasang suami isteri terbabit hilang kawalan dan merempuh kereta Proton Wira dinaiki anggota tentera dari arah bertentangan.

Menurutnya, selepas merempuh Proton Wira, kereta berkenaan merempuh tiga kenderaan lain iaitu sebuah Perodua Viva, Proton Persona dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Akibat rempuhan, pemandu Perodua Viva iaitu seorang pelajar politeknik, Khirul Izwan Md Yassin, 24, cedera di dada manakala pemandu Proton Persona yang juga seorang kakitangan syarikat guaman, Fazrul Anuar Sulaiman, 23, luka di mata serta muka,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, pemandu Toyota Hilux, A William Dass, 34, cedera di kaki manakala isteri, M Shareenah, 35, serta anaknya, WD Daveena, setahun, luka di tangan serta mulut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:27 AM