NUR Fitri
Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelajar pintar Matematik Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah United Kingdom (UK) memperoleh kebenaran untuk diekstradisi ke Malaysia selepas menjalani tempoh hukuman.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan di peringkat Kedutaan Malaysia di sana untuk membolehkan proses itu dilaksanakan.

Menurut Annuar, beliau sudah memohon Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin membenarkan Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di sana melihat mengenai kes terbabit.

“Proses itu boleh dilakukan dan keluarga Nur Fitri juga sudah merayu kepada MARA untuk membantu dalam proses ekstradisi berkenaan.

“MARA membantu dalam kes ini atas sifat kemanusiaan serta mengambil tanggungjawab kerana Nur Fitri di bawah tajaan MARA dan sudah tentu tidak boleh lepas tangan begitu saja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MARA di sini, semalam.

Nur Fitri, pelajar di bawah tanggungan biasiswa MARA di Imperial College London didapati bersalah memiliki lebih 30,000 video dan gambar pornografi kanak-kanak yang didakwa sebagai antara yang paling melampau.

Menurut Annuar, mengenai pembelajaran Nur Fitri pada masa akan datang, perkara itu tidak lagi berbangkit kerana ia jelas termaktub dalam kontrak pembelajarannya.

Jelas beliau, kontrak Nur Fitri sudah terbatal serta- merta apabila dia melakukan kesalahan di negara tempat dia menyambung pelajaran dan semua universiti di UK juga tidak dapat menerimanya disebabkan kesalahannya itu.

“Apa yang penting Nur Fitri perlu menjalani hukumannya terlebih dahulu dan kemudian diekstradisi ke Malaysia,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:28 AM