KEADAAN pondok yang hangus dalam kebakaran.
Ku Abdul Rahman menenangkan Halimah yang bersedih.
Oleh Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my

Yan: Hasrat sepasang suami isteri warga emas berpuasa dan menunaikan solat Tarawih di pondok mereka di Pondok Haji Husin, Guar Chempedak di sini, tidak kesampaian apabila ia musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiga pondok musnah 100 peratus manakala dua rumah berhampiran rosak di bahagian tepi selain sebuah Isuzu Dimax milik penduduk turut rosak.

Mangsa, Halimah Awang, 68, berkata, ketika kejadian, dia bersama suami Hasan Mat, 78, berada dalam rumah sebelum terdengar suara anak jiran menjerit meminta pertolongan.

Menurutnya, dia terus keluar melihat apa yang berlaku sebelum mendapati rumah jiran dijilat api marak.

“Saya yang tergamam ketika itu terus memaklumkan kepada suami yang sedang membaca al-Quran supaya menyelamatkan diri.

“Kami hanya sempat mengambil beg tangan mengandungi wang dan beberapa dokumen peribadi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Katanya, dia sudah 20 tahun tinggal di pondok itu walaupun mempunyai sebuah rumah di Sungai Limau, namun mereka jarang tinggal di kediaman itu.

“Saya dan suami lebih banyak menghabiskan masa beribadat di sini dan sepanjang Ramadan ini bercadang berpuasa dan menunaikan Tarawih di sini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Fadzil Ahmad, 28, berkata, dia yang berada dalam bilik air ketika itu terdengar suara abangnya, Firdaus Ahmad, 34, menjerit memaklumkan kebakaran itu.

“Ketika kejadian, kami tinggal berdua manakala ibu dan ayah tiada di rumah.

“Sebaik keluar bilik air saya lihat abang memadamkan api yang merebak ke rumah melalui tingkap bilik tidur di tingkat atas,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana bomba cepat tiba dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke seluruh rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail pula berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Yan akan memberikan bantuan wang tunai RM300 serta bahan makanan dan pakaian kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 8:35 AM