Penagih dadah yang ditahan dalam Operasi Narkotik.
Oleh Mohamad Azim FitriAbd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: “Sudah banyak kali saya cuba melupakan dadah tapi ‘puaka’ dalam serbuk heroin akan muncul dan merasuk saya semula,” itu antara alasan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun yang ditahan polis kerana menagih dadah, semalam.

Lebih mengejutkan apabila suspek yang ditahan polis dalam operasi khas di Taman Sri Sentosa, Brickfields di sini, mencipta rekod peribadi apabila sudah 30 kali diberkas pihak polis dan dihantar ke pusat Serenti untuk pemulihan.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendakwa mula mengambil bahan terlarang itu sejak berusia 12 tahun dan masih ‘melekat’ dengan ketagihan itu sehingga kini.

Dia yang dikenali dengan panggilan ‘Pak Long’ dalam kalangan rakan penagih memberitahu mula menagih najis dadah pada tahun 1970-an.

“Pak cik masa itu (usia 12 tahun) memang tak sekolah. Pak cik campur kawan-kawan jahat hingga terjebak dengan dadah. Memang payah nak berhenti walaupun berkali-kali keluar masuk pusat serenti.

“Duit gaji pak cik dihabiskan separuh untuk membeli dadah,” katanya kepada wartawan Harian Metro selepas ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Dia memberitahu sukar melupakan dadah walaupun sudah mempunyai tiga cucu dan tiga anak.

Semasa ditahan, Pak long bersama seorang lagi rakannya berusia 20 tahun dalam perjalanan bertemu pengedar dadah bagi membeli dadah jenis heroin.

Pak long mendakwa dia menghabiskan RM40 sehari bagi membeli sepeket heroin dan mengakui akan mengalami ketagihan melampau sekiranya tidak menghisap dadah itu.

“Saya ambil heroin ini untuk tujuan kerja. Jika tidak ambil maka saya tidak boleh bekerja,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas dikenali sebagai Halim, 62 tahun, mendakwa menagih dadah sejak bekerja di ibu kota.

Menurutnya, dia pernah lima kali dimasukkan ke pusat Serenti, namun hanya mampu melupakan dadah untuk tempoh beberapa minggu sahaja.

“Masalah timbul apabila ada rakan-rakan yang akan muncul ‘supply’ dadah semula kepada saya. Akibatnya saya akan terus menjadi hamba dadah,” katanya.

Menurutnya, selain disisihkan keluarga, tekanan hidup turut menyebabkannya dia kembali menjadi penagih tegar.

Operasi bermula jam 3 petang semalam berakhir 6 petang khusus untuk membenteras penagih dan pengedar dadah sekitar ibu kota.

Operasi itu turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

Hasil operasi itu, 41 penagih dadah tempatan diberkas polis sebelum dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 5:17 AM