Serdang: Pilih nyawa atau wang. Itu kata dua diberikan sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang yang bertindak merompak RM200,000 milik seorang ahli perniagaan.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari kelmarin, mangsa berusia 40-an terpaksa menyerahkan wang dibawa selepas suspek mengacukan mata parang ke lehernya.

Sumber polis berkata, mangsa dirompak kumpulan penjenayah selepas mengeluarkan wang itu di sebuah bank di Seri Kembangan, di sini.

Menurutnya, mangsa yang ditemani seorang rakan kemudian menaiki kereta BMW menuju ke sebuah lagi bank di Bukit Serdang di sini.

“Difahamkan mangsa mahu memindahkan wang itu ke bank berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dikatakan keluar daripada keretanya sebelum diserang empat suspek lelaki bersenjatakan parang,” katanya.

Menurutnya, suspek bertindak mengacukan parang ke leher mangsa sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan semua wang tunai dibawanya itu.

“Semua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta model Proton Saga,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 10:04 AM