Kajang: Seorang pengurus syarikat pembinaan kerugian RM40,000 selepas diserang hendap tiga perompak yang menanti mangsa di hadapan rumahnya.

Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, mangsa berusia 44 tahun itu difahamkan baru saja pulang ke rumahnya di Taman Bukit Segar Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, mangsa yang memandu kereta Proton Waja dikatakan keluar dari kenderaannya masuk ke rumah.

Menurutnya, tiga suspek tiba-tiba muncul dan menolak mangsa hingga jatuh.

“Suspek merampas beg duit dan kunci kereta mangsa sebelum lari meninggalkan mangsa bersendirian di hadapan rumahnya.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek membawa pisau dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, polis percaya ketiga-tiga suspek berkemungkinan menunggu mangsa balik ke rumahnya sebelum menyamun mangsa.

“Ekoran kejadian itu mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini.

“Mangsa mendakwa kerugian RM500 bersama dokumen penting termasuk Mykad selepas dompet miliknya dilarikan penjenayah terbabit,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:39 AM