Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hadiah bernilai RM8,000 menanti pemenang johan Resipi Sehebat SHARP Harian Metro, bermula hari ini.

Penolong Pengurus Besar SHARP, Abdul Hamid Ismail berkata, peraduan bertemakan Masak Sedap Hidup Sihat terbuka kepada pembeli ketuhar gelombang mikro SHARP sehingga 15 Ogos.

“Pembeli akan mendapat satu atau dua borang peraduan bergantung kepada model ketuhar gelombang yang dibeli.

“Terdapat 19 jenis model ketuhar gelombang mikro boleh didapati dalam tempoh yang ditawarkan pada harga antara RM300 hingga RM2,000,” katanya pada sidang media selepas pelancaran peraduan itu di Balai Berita, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) Datuk Mustapa Omar, Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Ahmad @ Salim Bachok, Pengarah Urusan SHARP, Takaya Wakasumi dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu.

Abdul Hamid berkata, peraduan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Masakan Ketuhar Gelombang Mikro dan Masakan Kombinasi.

“Penilaian resipi adalah berdasarkan resipi yang banyak menggunakan ketuhar sebagai medium masakan bersesuaian dengan matlamat kempen yang mahu mempromosikan ketuhar gelombang mikro sebagai peralatan memasak untuk gaya hidup sihat.

“Seramai 12 peserta akan terpilih ke peringkat akhir mewakili dua kategori dan mereka akan memasak di depan juri menggunakan resipi sama,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, HM yakin jumlah penyertaan peraduan akan bertambah melalui promosi akhbar kerana alat memasak itu menjadi pilihan ramai khususnya Ramadan nanti.

“Dengan jumlah pembaca HM melebihi 4 juta, saya optimis peraduan itu mendapat sambutan hangat,” katanya.

Setiap penyertaan perlu menggunakan borang rasmi yang boleh didapati di akhbar HM, HM Online, laman web rasmi SRSSC, facebook SHARP Malaysia dan pengedar sah SHARP.

Keseluruhan hadiah yang ditawarkan peraduan itu berjumlah RM30,000 merangkumi wang tunai, produk SHARP, trofi dan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:19 AM