NAJIB diiringi Ahmad (dua kiri) dan Chua (tiga dari kanan) di Majlis Konsultasi Bajet 2016, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan perlu menguruskan pengagihan kekayaan dengan cara adil demi kepentingan rakyat bagi mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita kepada RM54,075 (AS$15,000) menjelang 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi memastikan perkara itu tercapai, pendekatan (pengurusan pengagihan kekayaan) itu akan dijadikan tulang belakang bagi merangka bajet tahunan.

Beliau berkata, bajet tahunan perkara paling kritikal yang perlu difikirkan ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober depan akan menjadi bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentang di Parlimen pada 21 Mei lalu.

“Sasaran makro dan strategi meluas yang digariskan di bawah RMK11 akan direalisasikan melalui bajet tahunan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konsultasi Bajet 2016, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Chua Tee Yong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim.

Katanya, pada pembentangan Bajet 2015, sebanyak 91 intipati digariskan dengan lapan inisiatif sudah disempurnakan, manakala 69 yang lain masih di peringkat pelaksanaan sementara 14 inisiatif lain masih dalam perancangan dan dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Najib berkata, antara inisiatif yang berjaya diselesaikan termasuk pemberian diskaun 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi manfaat kepada 49,968 peminjam.

Dalam pada itu, katanya, pembinaan Lebuhraya Pantai Barat-Taiping, Perak, pembiayaan usahawan, pinjaman mikro kepada penjaja dan peniaga kecil, pembinaan 32 klinik 1Malaysia dan penambahbaikan bekalan air dan elektrik di luar bandar juga masih dalam pelaksanaan.

Mengulas mengenai majlis konsultasi bajet berkenaan, Najib berkata, beliau berharap majlis itu dapat menjana idea bernas dan merancakkan lagi usaha transformasi dan pembangunan negara supaya mencapai hasrat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi serta menjamin kesejahteraaan rakyat.

“Majlis tahunan ini satu platform yang penting bagi saya, apabila kerajaan dan sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran dan isu semasa dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh demi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan terus komited mengukuhkan kewangan negara tanpa menjejaskan pertumbuhan serta memastikan sasaran fiskal bagi 2015 kekal kukuh termasuk mengurangkan defisit kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.4 peratus pada tahun lalu.

Malah, katanya, kerajaan turut menyasar mempercepatkan pelaburan swasta dalam sektor ekonomi yang produktif selain menggesa sektor swasta supaya secara agresif mengeksploitasi peluang yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:12 AM