Kuala Terengganu: “Hafizal menjerit kesakitan dan ia amat menyayat hati,” kata Che Kamarul Zaman Che Abdullah, 31, sepupu kepada Wan Mohd Hafizal Wan Kamaruddin, 24, yang maut dihempap jengkaut dipandunya sendiri di Kampung Sungai Ikan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, Wan Mohd Hafizal dikatakan memandu jengkaut di lereng bukit sementara ibu bapanya membersihkan ladang getah tidak jauh dari situ.

Malangnya, jengkaut dipandunya terbalik sebelum menghempap badan Wan Mohd Hafizal.

Akibat kejadian itu, mangsa parah di bahagian perut dan kaki sebelum meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Che Kamarul Zaman berkata, kejadian berlaku ketika dia dan ibu serta bapa saudaranya sedang membersihkan ladang getah.

“Kami terdengar dentuman kuat dari arah lereng bukit dan langsung bergegas ke situ. Alangkah terkejutnya apabila mendapati keadaan Wan Mohd Hafizal yang menjerit meminta tolong dengan separuh badan ditindih jengkaut,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Unit Forensik HSNZ, semalam.

Katanya, mereka bertiga kemudian cuba mengangkat jengkaut itu namun tidak cukup kudrat untuk mengalihkan kenderaan berkenaan.

“Kami bertiga panik melihat Wan Mohd Hafizal meronta-ronta kesakitan. Saya menghubungi rakan lain sementara bapa saudara pula mengambil penarik rantai besi.

“Penarik rantai besi berjaya menggerakkan badan jengkaut dan kami semua segera mengalihkan Wan Mohd Hafizal,” katanya.

Menurutnya, tanpa berlengah, mereka menghantar Wan Mohd Hafizal ke HSNZ, namun mangsa tidak bertahan lama sebelum disahkan meninggal dunia sebaik beberapa minit mendapat rawatan.

“Kecederaan di bawah badan arwah terlalu serius dan banyak pendarahan berlaku di bahagian itu.

“Hafizal seorang yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan pemergiannya memberi kesan mendalam terhadap keluarga,” kata pekerja ladang itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Nik Md Zain Nik Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 8:33 AM