Johor Bahru: Latihan yang mencukupi menjadikan seseorang jurukimpal dasar laut mampu mengendalikan apa saja situasi mendesak sekali gus menyelamatkan diri daripada kejadian tidak diingini.

Ini diakui sendiri Afzanizam Mohd Suri, 39, kerana kerjaya diceburi merubah dirinya menjadi seorang yang lebih berani dan fokus serta dapat membuat keputusan dengan tepat.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam bidang itu katanya, ia bermula ketika membantu seorang rakan menguruskan kedai menjual alat menyelam di Pulau Tioman, Pahang.

“Pada 2009 minat saya dalam aktiviti skuba berada di kemuncaknya sebelum ditauliahkan sebagai pakar selam dan membantu orang ramai mendapatkan kemahiran asas skuba,” katanya yang menjadi pakar kira-kira tiga tahun.

Melihat kepada gaji lumayan sebagai penyelam komersial, Afzanizam nekad mengikuti kursus bersama agensi antarabangsa ADAS untuk mendapatkan lesen dalam bidang kimpalan dasar laut pada 2012.

“Saya mendapat latihan menyelam kapal ketika mengikuti kursus selama tiga bulan di Australia dan mendapat tugasan pertama pada 2013 (melakukan kimpalan dasar laut).

“Jika dulu saya mempunyai darah gemuruh, tetapi dengan pengalaman dan latihan diberikan ketakutan itu hilang,” katanya.

Katanya, tidak mungkin dia dapat hidup senang seperti sekarang, apatah lagi hanya memiliki kelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja.

“Ia umpama langkah kanan dan membuka pintu rezeki kepada saya untuk mendapatkan gaji lebih lumayan.

“Bayangkan setiap kerja dilakukan kami akan dibayar tinggi dan ada syarikat besar membayar hingga AS$1,000 (RM3,770) sehari,” katanya.

Namun, cabaran yang perlu ditangani dengan baik supaya dia dapat fokus terhadap kerjanya ialah apabila timbul perasaan rindu kepada orang tersayang kerana berjauhan dengan keluarga.

“Untuk melepaskan rindu, saya membuat panggilan video dan itupun sekiranya perkhidmatan berkenaan disediakan syarikat tempat saya bertugas.

“Dapat mendengar suara isteri dan anak pun sudah memadai bagi saya untuk melepaskan rindu,” katanya yang juga bapa kepada dua anak.

Katanya, untuk menjadi jurukimpal dasar laut, seseorang itu bukan saja perlu mempunyai latihan dan kemahiran yang tinggi, malah perlu kuat mental dan emosi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 8:27 AM