Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat di Menara Parlimen, semalam.

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta memantau harga barang dan perkhidmatan dalam tempoh dua bulan bagi melihat perubahan harga sama ada meningkat atau stabil memandangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memberi kesan sementara ke atas harga di pasaran.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen, semalam memastikan usaha terus diambil untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan tindakan bersepadu bagi menangani isu itu.

“Mesyuarat hari ini (semalam) turut membincangkan bagaimana kerajaan dapat meningkatkan kuasa membeli pengguna, terutama golongan pertengahan dan bawah umur 40 tahun.

“Selain mengukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan peraturan berkaitan kawalan harga, kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan meningkatkan penyediaan rumah mampu milik, meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, memperkenalkan sistem jaringan keselamatan sosial yang bersepadu dan komprehensif serta meningkatkan program peningkatan pendapatan, pengurusan kewangan dan hutang,” kata kenyataan yang dikeluarkan KPDNKK di sini, semalam.

Beliau berkata, KPDNKK akan mengkaji dengan terperinci tahap persaingan dalam perdagangan di Malaysia untuk menggalakkan persaingan sihat supaya memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Sejak 1 April lalu, pelbagai isu menjadi topik hangat khususnya perubahan terhadap harga barang atau perkhidmatan menimbulkan kerisauan rakyat serta menjadi viral di media massa dan media sosial.

“Hal ini berlaku, pertama disebabkan perubahan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan perubahan kadar cukai dari Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada GST.

“Kedua, disebabkan tindakan sesetengah peniaga memasukkan kadar cukai GST ke dalam struktur harga sedia ada serta mencatut atau mengambil keuntungan tinggi tidak munasabah oleh peniaga,” katanya.

Katanya, faktor lain turut dikenal pasti mempengaruhi ketidakstabilan harga barangan, antaranya upah buruh dan penggajian, permintaan serta penawaran, selain kadar pertukaran mata wang yang memberikan kesan kepada urusan jual beli barangan import.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 10:25 AM