PENGHUNI rumah panjang menyelamatkan diri sejurus menyedari kebakaran.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kanowit: “Semua penghuni panik dan bertempiaran menyelamatkan diri sebaik menyedari rumah panjang terbakar,” kata penghuni rumah panjang yang dikenali sebagai Willie menceritakan detik cemas apabila Rumah Panjang Meruan, Nanga Tada, di sini, terbakar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, lebih 200 penghuni hilang tempat tinggal apabila rumah panjang itu terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Willie, 32, berkata, ketika kejadian semua penghuni berehat di rumah masing-masing dengan sekumpulan kanak-kanak bermain di luar rumah.

Katanya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan jeritan mengarahkan semua keluar menyelamatkan diri kerana berlaku kebakaran.

“Tanpa berlengah, saya mengarahkan ahli keluarga keluar dan hanya mengambil dokumen penting.

“Penghuni lain cuba memadamkan kebakaran menggunakan air paip tetapi tidak berjaya kerana api merebak pantas dan kami hanya mampu melihat rumah yang berusia lebih 10 tahun itu musnah terbakar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, dua jentera bersama 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit serta Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati api hampir memusnahkan keseluruhan rumah kayu itu.

“Bomba mengawal kebakaran dengan segera bagi mengelakkan api merebak ke 28 pintu Rumah Panjang Elam yang terletak berhampiran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, bomba menghadapi masalah tekanan air rendah dan terpaksa mengepam air dari sungai berhampiran.

Farhan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana mangsa sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kediaman mereka terbakar.

Katanya, ketika ini, sebahagian mangsa ditempatkan di Dewan Seribu Nanga Tada dan selain ada menumpang di rumah saudara.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menghulurkan bantuan kepada mangsa manakala bomba masih menyiasat punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:26 AM