JENAZAH Salam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Maimon.
Oleh Mohamad Hanafis Abdul Haris
am@hmetro.com.my


Batu Pahat: Seorang tukang rumah sambilan yang sedang membaiki bumbung rumah seorang mangsa ribut di Taman Bendahara, Parit Sulong di sini, maut selepas terjatuh dari ketinggian hampir 10 meter petang kelmarin.

Difahamkan Salam Daud, 56, terjatuh dari ketinggian 10 meter pada jam 11 pagi sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada jam 5.50 petang akibat kecederaan parah di kepala dan patah tulang belakang.

Menurut isterinya, Fauziah Mohamed, 53, suaminya ke lokasi kejadian selepas diminta pemilik rumah untuk melihat kerosakan sebelum melakukan kerja membaiki bumbung rosak akibat dilanda ribut yang berlaku pada Sabtu lalu.

“Saya turut berada berhampiran lokasi ketika kejadian berlaku. Namun, selepas dimaklumkan ada orang terjatuh dari bumbung, saya segera ke sana untuk melihat sebelum menyedari lelaki itu adalah suami saya.

“Saya terkejut kerana dimaklumkan suami jatuh dari ketinggian hampir 10 meter. Bimbang dengan keadaannya, suami kemudian dibawa oleh rakan sekerja ke hospital untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia petang semalam,” katanya.

Fauziah berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah yang turut mengusahakan tanaman lengkuas di Ayer Hitam, namun kedua-dua anak perempuan mereka masih terkejut dengan kejadian itu.

“Anak bongsu saya, Nur Hazika Izzati berusia 12 tahun masih sukar menerima kejadian itu, manakala kakaknya, Nur Aida Batrisya, 14, dilihat lebih tenang tetapi kami semua reda kerana Allah SWT lebih sayangkan dia,” katanya.

Menurutnya, tidak banyak perubahan ditunjukkan arwah sebelum kejadian itu, namun arwah dilihat semakin kurang bergurau dengan anak.

“Kami terima dengan tenang dan arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Maimon kira-kira jam 10.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Sabtu lalu, lebih 50 rumah di sekitar Parit Sulong, di sini, rosak pada bahagian bumbung dan struktur rumah akibat dilanda ribut dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Sungai Kajang, Kampung Peserai Pantai, Taman Bendahara, Taman Molek dan beberapa kawasan perumahan lain sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:20 AM