SEBAHAGIAN penumpang yang terkandas terpaksa menunggu kereta api bantuan untuk membawa mereka ke destinasi masing-masing.

Beaufort: Lebih 50 penumpang menempuh detik cemas apabila kereta api dinaiki mereka tergelincir dari landasan ketika dalam perjalanan ke Tenom selepas berlepas dari stesen Beaufort, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang di Kampung Batu 60 itu menyebabkan dua daripada tiga gerabak kereta api hampir rebah ke bumi mengakibatkan penumpang bertindih sesama sendiri.

Seorang penumpang Medilina Tupang, 40, berkata, insiden itu menakutkan kerana dia serta penumpang lain terpelanting ke dinding gerabak.

Menurutnya, ketika kejadian, kebanyakan penumpang termasuk dia sedang tidur apabila secara tiba-tiba gerabak kereta api bergegar kuat disusuli bunyi seretan sebelum tergelincir.

“Pada mulanya, saya menyangka gegaran ini gempa bumi kerana gerabak penumpang ini bergoyang ke kiri dan ke kanan dengan kuat menyebabkan kami semua terhumban dan menindih antara satu sama lain.

“Malah, barangan milik kami juga bertaburan di lantai gerabak dan ada juga terhumban keluar sebelum kekecohan berakhir dalam keadaan gerabak condong dan hampir rebah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Medilina berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Kampung Seliwangan Batu 65 dan cuma mengalami kecederaan kecil di tangan.

Dia turut bersyukur kerana ibu saudaranya selamat dan sedikit trauma dengan kejadian yang belum pernah mereka alami sebelum ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kereta Api Negeri Sabah berkata, perkhidmatan kereta api dari Beaufort ke Tenom itu dihentikan buat sementara waktu untuk pembaikan landasan serta mengalihkan gerabak yang tergelincir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:30 AM