KEADAAN dua kereta di bawah garaj yang dihempap lori di Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal, semalam.

Alor Gajah: Dentuman kuat awal pagi yang mengejutkan satu keluarga pada mulanya disangkakan kemalangan jalan raya, namun rupanya kereta Perodua Kelisa dan Honda City milik mereka rosak teruk dihempap garaj dan sebuah lori satu tan.

Dalam kejadian di Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal di sini, jam 5 pagi semalam, lori membawa muatan pasir yang baru diletakkan 80 meter dari rumah mangsa dikatakan meluncur secara tiba-tiba.

Lori itu merempuh garaj menempatkan kedua-dua kereta berkenaan menyebabkan strukturnya runtuh lalu menghempap kereta berkenaan yang diparkir di kawasan itu.

Mangsa Rashid Abd Hamid, 59, yang juga Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah berkata, rumahnya terletak di kawasan rendah menyebabkan lori berkenaan menghempap Perodua Kelisa milik anak perempuannya dan Honda City milik isterinya, Naziah Ramli, 52.

“Saya dan isteri yang tidur dalam bilik di tingkat dua terjaga sebaik terdengar dentuman kuat dan keluar meninjau kejadian yang berlaku sebelum terkejut apabila mendapati garaj kereta roboh dan menghempap kedua-dua kereta berkenaan.

“Ketika melakukan pemeriksaan, saya dapati pemandu lori itu tiada di tempat kejadian dan difahamkan, lori itu milik subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang digunakan untuk mengangkut tanah dan batu dari tapak projek membaik pulih kabel elektrik berhampiran rumah yang bermula kelmarin.

“Saya ada didatangi pegawai TNB yang mendakwa lori itu bergerak sendiri dan tidak sempat untuk menghentikannya menyebabkan ia meluncur lalu merempuh tembok dan garaj rumah saya hingga roboh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:21 AM