CHANTAL (depan kiri) berehat bersama pendaki yang berjaya turun dari Gunung Kinabalu.

Ranau: “Saya hanya mampu menangis dan berdoa apabila berlaku gegaran dan runtuhan batu selain berpelukan dengan rakan lain yang turut menangis ketakutan,” kata murid sekolah dari Singapura, Chantal Phuay Yi, 11, yang terperangkap bersama 28 rakannya lain ketika berada di puncak Gunung Kinabalu, di sini, semalam.

Menurut Chantal, ketika kejadian jam 7.15 pagi, dia bersama rakan serta dua guru pengiring berada di Laban Rata, kira-kira satu kilometer dari Via Ferrata.

“Sebaik menyedari gegaran berkenaan, tidak semena-mena beberapa batu dari puncak lalu jatuh bertebaran berhampiran lokasi kami berkumpul.

“Disebabkan gegaran kuat, kami juga berpaut tangan sesama sendiri bagi mengelakkan terjatuh,” katanya ketika ditemui di Timpohon.

Chantal berkata, gurunya mengarahkan semua peserta supaya meniarap bagi mengelak terjatuh.

“Saya hampir pitam akibat terlalu takut tetapi berjaya ditenangkan seorang guru pengiring dan dibawa ke lokasi lebih selamat.

“Seorang guru pengiring kami turut cedera apabila terseliuh pada jari kanan ketika cuba menyelamatkan rakan kami yang hampir terjatuh,” katanya.

Katanya, tidak berapa lama kemudian, beberapa individu dipercayai malim gunung tiba dan membawa mereka turun ke Timpohon.

“Dalam perjalanan turun, kami turut terserempak dengan anggota bomba sebelum diiringi ke Taman Kinabalu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, pendaki warga emas, Lee Yoke Fah, 60, dari ibu negara cedera pada lutut dan lengan kanan apabila terjatuh kira-kira 10 meter dari laluan.

“Saya berjalan kaki bersama 22 ahli ekspedisi lain menuruni tebing sebelum merasai gegaran kuat, kira-kira enam kilometer dari Laban Rata.

“Gegaran berlaku terlalu pantas dan kuat menyebabkan saya tidak sempat berpaut pada pokok dan terus tergelincir.

“Namun, saya bernasib baik apabila sempat berpaut pada dahan pokok sebelum diselamatkan ahli kumpulan lain,” katanya.

Lee berkata, dia meredah perjalanan turun hampir sejam dengan cedera lutut sebelum tiba di Timpohon dan menerima rawatan.

“Saya bersyukur kerana rakan lain dalam ekspedisi ini terselamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 10:20 AM