KEADAAN tingkap bilik tidur yang musnah terbakar.

Ledang: Berang selepas cubaan menceroboh melalui tingkap gagal, seorang penjenayah membakar langsir sebuah kediaman di Kampung Simpang Lima Darat, Bukit Gambir, di sini, malam kelmarin sehingga mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM10,000.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Ikmal Firdaus Abd Wahab, 27, isteri, Siti Roedah Md Jemary, 27, dan anak mereka bercuti di Jerantut, Pahang.

Ikmal Firdaus berkata, dia dihubungi bapa mentua, Md Jemary Sulaiman, 62, memaklumkan mengenai kebakaran kediamannya.

“Dalam keadaan kelam-kabut, kami pulang semula ke rumah kerana tidak meninggalkan kunci kepada keluarga mentua,” katanya yang ditemui semalam.

Menurutnya, dia sudah memastikan semua peralatan elektrik di rumah dimatikan manakala tingkap dan pintu berkunci.

“Saya mengesyaki berkemungkinan kediaman saya dipecah masuk berdasarkan kesan umpilan pada pintu dan tingkap rumah.

“Mungkin disebabkan gagal memasuki rumah kami kerana dipasang jeriji besi, penjenayah tergamak membakar langsir tingkap dari luar.

“Kerugian dianggarkan RM10,000 termasuk perkakasan elektrik seperti alat penghawa dingin, kipas angin dan pakaian milik anak musnah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, bagi mengelak kejadian sama berulang orang ramai perlu memaklumkan kepada polis sekiranya ingin meninggalkan rumah dalam tempoh lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 9:05 AM