Kuala Lumpur: Seorang penganggur didenda RM350 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memancitkan tiga tayar kereta milik jirannya yang enggan membayar hutangnya.

Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Redhuan Ismail, 35, selepas mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan memancitkan tayar milik peniaga, Tony Roslee, membabitkan kerugian RM50 di kawasan tempat meletakkan kenderaan di sebuah kondominium Seksyen 6, Jalan 1/27D, Wangsa Maju, jam 1.45 petang pada 26 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh memancitkan tayar kereta mangsa selain membaling batu ke tingkap rumah lelaki berkenaan sebelum tangkapan dilakukan terhadap Redhuan beberapa hari kemudian.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia bertindak sedemikian kerana lelaki terbabit enggan membayar hutangnya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 8:20 AM