Ramlan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.

Melaka: Seorang bapa tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas empat pertuduhan mengugut serta mencederakan ibu dan isterinya, pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Ramlan Mohd Sanusi, 31, dari Taman Duyong Indah, Kandang, mengaku bersalah selepas faham empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, Ramlan didakwa dengan niat curang melakukan ugutan jenayah dengan perbuatan mengacukan pedang terhadap isterinya, Saloha Rupuri, 44.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan niat curang melakukan ugutan jenayah mengacukan pedang dan berkata ‘kau nak mati mok, kau nak mati mok,” yang mendatangkan ketakutan kepada ibunya, Laila Abdullah, 63.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada kedua-dua mangsa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Duyong Indah, Taman Duyong Indah, Kandang di sini, antara jam 6 petang hingga 2 pagi pada 16 hingga 17 Mei lalu.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abdul Hamid memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh sebaliknya menghantar Ramlan menjalani rawatan di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) negeri, Ishak Mohd Kari juga bersetuju tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan.

Ishak berkata, rawatan itu penting bagi mendapat pengesahan daripada doktor sama ada tertuduh sedar dengan apa yang dilakukan ketika kejadian itu berlaku atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:36 AM