MATRANG memasang poster amaran penjualan rokok dan arak seludup di sebuah kedai runcit.
Oleh Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my

Miri: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan operasi besar-besaran bagi membendung kegiatan penyeludupan rokok dan arak di Sabah dan Sarawak berikutan peningkatan kes di kedua-dua negeri terbabit.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata, rokok dan arak seludup di dua negeri itu berlaku secara aktif kerana ia terletak bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia, dan Filipina.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi ‘panas’ di Sarawak termasuk laluan tikus di kawasan sempadan Kalimantan Barat yang digunakan sindiket bagi membawa masuk rokok dan arak seludup termasuk pelbagai barang terlarang lain.

“Kita menjangka kegiatan penyeludupan barangan itu semakin aktif menjelang hujung minggu ini berikutan permintaan meningkat menjelang musim perayaan Hari Gawai minggu depan.

“Justeru, operasi akan terus dipergiatkan bagi mengekang kegiatan sindiket penyeludupan terbabit,” katanya selepas melancarkan operasi khas Op Pacak - Arak dan Rokok Seludup Peringkat Sarawak 2015 di Bangunan Majlis Bandaraya Miri (MBM), di sini, semalam.

Matrang berkata, ada segelintir pemilik perniagaan berlesen khususnya pengusaha kedai runcit di negeri ini bersekongkol menjual rokok dan arak seludup.

“Di Miri saja, lima kedai runcit sudah diserbu sebelum ini selepas disyaki menjual rokok dan arak seludup. Kita tidak menolak kemungkinan ada banyak lagi premis perniagaan yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan.

“Bagi mengekang kegiatan itu, kita akan melakukan pemeriksaan mengejut di mana-mana premis perniagaan yang disyaki melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan menerusi Op Pacak di lima lokasi di sini, Selasa lalu, JKDM merampas rokok seludup selain arak serta mercun bernilai RM2,904.27.

Empat lelaki termasuk seorang warga asing ditahan JKDM dalam serbuan itu.

Semua suspek ditahan reman dan akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 10:23 AM